Kebebasan Bersuara Bukan Kebebasan Untuk Berbohong
29 Oktober 2020 | Aktiviti TerkiniSejak kebelakangan ini, sering kali kita digembar-gemburkan dengan khabar angin atau berita palsu yang kerap muncul di media sosial. Hal ini menimbulkan kegusaran dan kekeliruan kerana berita palsu boleh menyebabkan kesan buruk terhadap masyarakat apabila seseorang mempercayai sesuatu berita yang diterima tanpa menyemak kesahihannya dan terus berkongsi kepada orang lain. Misalnya, terdapat stigma bahawa bekas pesakit COVID-19 boleh menjangkiti semula orang sekeliling tetapi kesahihan yang dilaporkan menyatakan mereka yang telah pulih tidak akan menjangkiti orang lain dan jika disebarkan berita palsu mengenai stigma berikut, ia boleh menimbulkan rasa panik buat individu yang tidak mengetahui info sebenar lalu mempercayai berita palsu tersebut.
Oleh yang demikian, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mewujudkan kempen kesedaran melalui slogan “Kebebasan Bersuara Bukan Kebebasan Berbohong” dalam usaha memerangi penyebaran berita palsu dan mempromosikan tingkah laku serta tanggungjawab yang positif dalam kalangan umum. Secara amnya, kempen yang sedang giat dijalankan ini dilakukan secara dalam talian menerusi perkongsian di laman sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter dengan menyebarkan bahan poster dan video digital yang telah disediakan oleh pihak SKMM dan agensi berkaitan.
Antara mesej yang diketengahkan di dalam kempen ini adalah seperti 'bercakap benar', 'bijak menilai', 'beringat bila bercakap', 'luahkan pendapat berdasarkan fakta' dan 'beri pandangan tanpa menyebarkan kebencian'. Justeru, masyarakat khususnya pengguna internet hendaklah memanfaatkan kemudahan teknologi sebaik mungkin serta menggunakan secara berwaspada dan periksa kesahihan sesuatu maklumat sebelum mempercayainya dan membuat perkongsian termasuk mengamalkan prinsip Rukun Negara demi mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan sejagat.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: